2009-01-03

Mangkuk Tingkat.Com Jalin Kerjasama Dengan Seri Bestari



MangkukTingkat.Com berhasrat berkerjasama dengan syarikat Seri Bestari Enterprise selaku pengeluar nasi lemak kukus untuk merealisasikan wawasannya mengwujudkan sistem francais berasaskan makanan segera menjelang Julai tahun ini.

Ameer Soekre Ishak, pengasas Mangkuk Tingkat.Com juga Presiden Eksekutif, Yayasan Pembangunan Nurhikmah berkata, “Mangkuk Tingkat.Com rasa tertarik dan yakin dengan syarikat Seri Bestari yang memperkenalkan Konsep pengeluaran nasi lemak kukus secara pengilangan”.

“Sejak tahun lalu kami mencari-cari rakan bisnes yang sinergi dengan perniagaan Mangkuk Tingkat.Com. Kini kami telah berjumpa dan tertarik dengan konsep bisnes yang diperkenalkan oleh syarikat Seri Bestari dan telahpun memilihnya menjadi rakan kongsi strategik untuk mengembangkan lagi perniagaan yang dijalankan”, ujarnya.

Seri Bestari ialah jenama nasi lemak kukus yang pertama dikeluarkan secara kilang oleh usahawan bumiputera yang berpengkalan di Kepala Batas, Jitra yang akan mula memasarkan produk nasi lemak kukusnya pada pertengahan Januari ini.

Mangkuk Tingkat.Com pula menyediakan sajian hidangan tengahari dan makan malam untuk dinikmati oleh pelanggan yang sibuk serta tiada masa untuk memasak. Sehingga kini ia telah menerima sebanyak 3200 tempahan dari pelanggannya di sekitar Lembah Kelang yang telah memulakan operasinya sejak tahun 2006, ujarnya lagi.

Ameer Soekre menambah, “rakan kongsi yang dimaksudkan ialah Mangkuk Tingkat.Com bersetuju melantik Seri Bestari untuk melebarkan sistem francais yang akan diperkenalkan serta menjadikan nasi lemak kukus sebagai menu utama dalam perniagaan terasnya”.

Kajian pasaran yang dijalankan bahawa sistem francais Mangkuk Tingkat.Com yang akan diperkenalkan restoren nasi lemak kukus berjenama Seri Bestari akan memberi peluang kepada orang ramai termasuk koperasi serta syarikat-syarikat yang ingin menceburi bidang perniagaan berasaskan restoren makanan segera di masa depan.

Di peringkat permulaan, pihaknya akan menumpukan pembukaan restoren ala francais tersebut di negeri Johor Bharu, Kuala Lumpur, Shah Alam, Pulau Pinang dan Kedah. Setiap satu francais dianggarkan bernilai antara RM 200 – RM 500 ribu termasuk kos ubahsuai restoren, kursus, penyediaan perlatan memasak dan kos iklan.

“Kami akan muktamadkan dengan pengasas Seri Bestari dalam masa terdekat ini’ ujarnya dengan penuh yakin.